IPOH – Tidak mungkin berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas Johor di Perak kerana kestabilan politik yang ada sangat kukuh untuk mengelak situasi sedemikian terjadi.
Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, perkara itu juga tidak wajar berlaku dalam situasi rakyat berhadapan dengan pelbagai masalah.
Menurut beliau, PH secara konsisten sememangnya meletakkan kestabilan politik menerusi persefahaman dengan kerajaan sebagai perkara penting termasuklah di Perak.
“Apa perlu adakan PRN kalau menimbulkan masalah?
“Jadi, tiada keperluan pun PRN kerana PH Perak sendiri tidak mahu, malah kita mahu kestabilan politik sedia ada antara parti dikekalkan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.
Beliau berkata demikian semasa ditanya pada Majlis Pemimpin PH Bersama Media yang diadakan di sebuah hotel di sini pagi tadi.
Mengulas perkara sama, Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan How berkata, rakyat tidak akan dibebankan dengan PRN yang tidak seiring dengan Pilihan Raya Umum.
“Daripada segi taktikal pula, tiada PRN bermakna ia memberi masa pada PH untuk selesaikan isu-isu.
“Kestabilan politik sepertimana disebut sebut pihak luar sebenarnya wujud di Perak,” jelasnya.
Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang membawa kepada PRN tidak akan berlaku di Perak.
Jelas beliau, kerajaan negeri masih mendapat sokongan kuat termasuk daripada pembangkang dan akan diteruskan sehingga habis penggal.
Kerajaan negeri Perak dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
Saarani ketika ini memiliki sokongan 36 ADUN dengan BN mempunyai 25 kerusi diikuti Bersatu empat kerusi, Pas tiga kerusi, Parti Bangsa Malaysia (PBM) tiga kerusi dan Bebas satu kerusi.
DUN Perak mengandungi 59 ahli keseluruhan dan memerlukan 30 kerusi untuk majoriti mudah. – K! ONLINE.