MANCHESTER – Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo dilaporkan hampir pasti untuk meninggalkan Old Trafford buat kali kedua selepas tidak gembira dengan masalah dan kontroversi yang melanda pasukan itu.
Laporan menyebut, kegagalan United menyaingi Manchester City, Liverpool dan Chelsea menyebabkan pemain tersebut sangat kecewa selain prestasi yang tidak konsisten dipamerkan pasukan itu.
United kemarau kejuaraan Liga Perdana Inggeris sejak lapan tahun lalu dan ketinggalan 21 mata di belakang pendahulu, City dan musim ini mereka turut gagal meneruskan saingan dalam dua kejohanan domestik lain.
Pengurus mereka, Ralf Rangnick berdepan tugas berat untuk memulihkan moral pasukan itu terutama untuk mencipta kejutan dalam saingan Liga Juara-Juara, namun ramai yang berpendapat pasukan itu bakal menamatkan satu lagi musim tanpa sebarang gelaran.
Ronaldo kembali ke Old Trafford dengan reputasi yang cukup tinggi dan berjaya membuktikan bahawa sentuhannya masih berbisa apabila meledak lima gol dalam empat penampilan awal musim lalu.
Bagaimanapun, prestasi merudum para pemain United yang lain menyebabkan Ronaldo juga gagal meneruskan ketajamannya apabila gagal menjaringkan gol dalam lima perlawanan terakhir EPL selain hanya meledak dua gol dalam sembilan penampilan untuk semua kejohanan.
Biarpun masih menjadi penjaring terbanyak United dengan mengumpul 14 gol dalam semua kejohanan, sentuhan Ronaldo di hadapan gawang gol ketika ini dianggap terburuk sejak 12 tahun lalu. – AGENSI