PASIR GUDANG – Pemuda Barisan Nasional (BN) mengemukakan lebih daripada 15 nama calon muda kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbangkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.
Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pemilihan calon itu masih belum diputuskan dan berada dalam fasa penilaian.
Katanya, senarai calon yang dikemukakan itu sudah pasti menepati kriteria yang ditetapkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi iaitu ciri ‘WALI’ iaitu ‘winnable’, ‘acceptable’ dan ‘likeable’.
“Calon-calon ini sudah tentu sama seperti di PRN Melaka iaitu calon muda yang berkelayakan dan berketerampilan dari segi pencapaian akademik yang baik.
“Mereka juga adalah individu yang telah sudah lama menjalankan gerak kerja bersama parti dan sudah pun dikenali masyarakat, bukannya baru sahaja nak tonjolkan diri,” katanya selepas merasmikan Program Pengangkutan Percuma Pickids khusus untuk penduduk Pasir Gudang di Perkarangan Pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang, Bandar Seri Alam, di sini hari ini.-K! ONLINE