SEORANG daripada pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara yang bakal beraksi di Kejuaraan B-23 Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) terpaksa ‘disisihkan’ buat seketika selepas didapati positif ujian Covid-19 sejurus tiba di Phnom Penh, Kemboja.
Menurut dakwaan, pemain yang didapati positif itu adalah Fahmi Daniel dan pastinya perkhabaran ini sedikit sebanyak menimbulkan keresahan dalam kalangan peminat selepas skuad Harimau Malaya turut berdepan situasi sama sehingga gagal pada kempen Piala AFF Suzuki, baru-baru ini.
Berita tersebut disahkan sendiri oleh pengendali skuad B-23 negara, Brad Maloney selepas menerima keputusan ujian pagi semalam dan pemain berkenaan kini sedang menjalani proses kuarantin.
“Sejurus tiba, kami menjalani ujian mengikut protokol dan seorang daripada pemain didapati positif. Perkara ini sudah disahkan pagi ini (semalam) dan pasukan perubatan sedang menguruskan perkara ini mengikut ketetapan.
“Pemain ini sudah pun dibawa ke fasiliti perubatan untuk proses isolasi dan buat masa ini dia akan kekal di sana,” katanya pada sidang media atas talian semalam.
Pasukan negara diundi dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos dan Indonesia, namun skuad Garuda itu sudah pun menarik diri selepas tujuh pemainnya disahkan positif Covid-19.
Skuad negara akan membuka tirai saingan menentang Myanmar pada Selasa ini diikuti Laos (Jumaat) dengan kedua-duanya aksi dilangsungkan di Stadium Prince.
Pada masa sama, Maloney menaruh keyakinan pengalaman empat pemain yang dipanggil pada saat akhir, Sikh Izhan Nazrel, Ahmad Zikri Khalili, Azrin Afiq Rusmini dan Harith Haiqal mampu menyesuaikan diri secepat mungkin.
“Saya pernah bekerja bersama mereka, jadi saya tidak rasa ia akan beri masalah besar untuk menyesuaikan diri dalam pasukan. Mereka juga sudah bersama dengan kelab untuk aksi pramusim dan saya tidak rasa timbul sebarang masalah membabitkan aspek kecergasan,” jelasnya.