KOTA BHARU – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) menggesa kerajaan meneliti semula tuntutan di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang disifatkan tidak relevan.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pendapatan penjawat awam dilihat masih di bawah garis kemiskinan dan tidak mampu untuk dicapai menjelang sasaran menjadikan negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah melancarkan program negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 dengan pendapatan isi rumah RM10,000 pada 27 November lalu, namun sistem saraan pada terkini masih jauh di belakang.
“Kita mencadangkan sistem saraan baharu dapat diwujudkan bagi menggantikan SSM dengan meletakkan sasaran gaji minimum RM1,800 kerana jika dicampur dengan semua imbuhan akan menjadikan angkanya RM2,450 iaitu sudah melepasi garis kemiskinan RM2,208.
“Sekiranya sistem saraan ini tidak diwujudkan, unjuran sukar dijalankan kerana kenaikan gaji tahunan yang paling minimum adalah RM80 dan hanya bertambah RM240 dalam tempoh tiga tahun lagi. Jumlah itu sudah pasti masih lagi rendah di bawah garis kemiskinan,” katanya. – K! ONLINE.