LONDON – Pasukan McLaren bertekad untuk menutup jurang dengan pasukan terbaik sebelum ini apabila memperkenalkan secara rasmi jentera MCL36 baharu mereka kelmarin.
Berlatarkan warna oren dan biru, McLaren akan diperkuat dengan pelumba berbakat mereka, Lando Norris yang sah mengikat kontrak selama lima tahun bersama pasukan berpangkalan di Woking, United Kingdom tersebut.
Sementara itu, Daniel Ricciardo yang kini memasuki tahun keduanya bersama McLaren turut meletakkan sasaran lebih tinggi selepas meraih kemenangan dramatik 1-2 Grand Prix (GP) Itali pada September tahun lalu.
Keyakinan McLaren untuk mengharungi cabaran pada musim ini lebih positif selepas kutipan mata yang mereka peroleh pada musim lalu amat baik dalam tempoh sedekad.
“Kami tidak sabar untuk melihat apa yang Ricciardo dan Norris boleh lakukan dengan MCL36. Setiap ahli pasukan di Woking telah berusaha gigih, bersemangat dan penuh keazaman untuk membina jentera ini.
“Saya yakin McLaren akan lebih kompetitif selepas apa yang mereka pamerkan pada musim lalu. Norris berjaya meraih penamat podium, malah hampir dinobatkan sebagai juara.
“Dia (Norris) telah membuktikan kepada dunia bahawa dia boleh menjadi pemenang Grand Prix. Ricciardo juga merupakan seorang pemandu berpengalaman, saya yakin dia juga mampu lakukan kejutan sekali lagi,” kata prinsipal pasukan, Andreas Seidl.
Kedua-dua pelumba McLaren tersebut akan turun menguji jentera mereka pada 23 hingga 25 Februari ini di Barcelona sebelum memulakan aksi pertama di Bahrain pada 20 Mac. – AGENSI