IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meneroka inisiatif penggunaan buluh sebagai permulaan ke arah membangunkan teknologi rendah karbon menjelang 2030.
Ia merupakan kesinambungan kerjasama yang dimeterai antara MBI dan Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM pada Oktober 2019.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kerjasama itu melibatkan aspek pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan teknologi pembinaan dan rekabentuk struktur buluh sebagai bahan pembinaan semulajadi.
“Ini membuka lebih banyak peluang kerjasama dua hala menerusi aspek idea dan kepakaran khususnya berkaitan pengurusan landskap.
“MBI juga dapat melatih kakitangan jabatan meneroka ilmu baharu manakala pihak UTM pula berkongsi kajian akademik tentang manafaat buluh dalam pembinaan struktur landskap,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.
MBI melalui Jabatan Landskap telah melatih beberapa kakitangan yang berminat mempelajari teknologi pembinaan buluh dengan pakar pembinaan tumbuhan tersebut di Sungai Siput sejak empat tahun lalu.
Penerokaan teknologi tersebut melibatkan rekabentuk struktur, pemilihan dan penebangan buluh, proses rawatan dan pembinaan.
Menurut Rumaizi, penerokaan teknologi ini telah menghasilkan beberapa struktur landskap baharu seperti yang terdapat di Dataran Bandaraya, Taman Rekreasi Gunung Lang dan Taman DR Seenivasagam.
“Penyerahan struktur itu telah dilaksanakan pada bulan lalu yang dihadiri Timbalan Naib Canselor Pembangunan UTM, Prof Mohd. Hamdan Ahmad
“MBI akan memperluaskan lagi penerokaan dan usahasama ini ke kawasan rekreasi dan tumpuan umum lain bagi menepati objektif bandaraya rendah karbon,” ujarnya. – K! ONLINE.