fbpx

Lokasi kepala air jadi tarikan orang bergambar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beginilah keadaan sisa-sisa kayu yang tersekat di Jambatan Telemong dekat Karak semalam.

BENTONG – Kewujudan sisa kayu yang banyak di sekitar Jambatan Sungai Telemong di Karak dekat sini selepas hampir dua bulan bencana banjir melanda kawasan itu menimbulkan keresahan penduduk.

Malah, tindakan pihak berwajib membiarkan kayu-kayu berkenaan memenuhi kawasan sungai tersebut menimbulkan persoalan kenapa ia terus dibiarkan dan tidak dibersihkan hingga kini.

Berdasarkan tinjauan Kosmo! mendapati, kawasan sekitar Jambatan Telemong itu masih dipenuhi dengan sisa kayu yang tersangkut pada besi saliran paip di bawah jambatan.

Malah, timbunan kayu yang banyak itu juga bagai menjadi satu ‘tarikan’ baharu apabila ramai pengguna jalan raya berhenti bagi melihat keadaan itu, malah ada yang merakam gambar.

Seorang penduduk, S. Subra­ma­niam, 60, yang tinggal berhampiran jambatan berkenaan berkata, sisa kayu yang tersekat di jambatan berkenaan menimbulkan kerisauan kepada penduduk terhadap risiko banjir.

“Setiap kali hujan memang kami tidak senang duduk dan risau jika air cepat melimpah memandangkan laluan air tersekat dengan sisa kayu yang tidak di­bersihkan sehingga kini selepas kejadian banjir 18 Disember tahun lalu.

“Memang pelbagai pihak datang melakukan tinjauan, tetapi sehingga kini, saya berasa pelik kenapa sisa kayu berkenaan tidak dibersihkan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Berita berkaitan: Kampung jadi sunyi selepas tragedi kepala air

Menurut Subramaniam, sisa-sisa kayu berkenaan terus bertambah kerana tersangkut pada besi perpaipan yang sudah patah dan dibiarkan begitu sahaja tanpa pembaikan.

Justeru, dia berharap pihak berkenaan dapat mengambil langkah segera memandangkan sudah banyak aduan dibuat sehingga kini bagi membersihkan kawasan berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Yong Cheng Wai, 40, berkata, kewujudan banyak kayu yang tersekat di bawah jambatan berkenaan dibimbangi boleh menyebabkan kerosakan struktur jambatan sekiranya hujan lebat.

Selain itu, katanya, ia juga boleh menyebabkan saliran paip air bersih di bawah jambatan berkenaan rosak.

“Ini boleh menjejaskan bekalan air kepada penduduk setempat.

“Kenapa sudah hampir dua bulan tiada apa-apa tindakan daripada pihak terbabit seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, pejabat daerah dan juga pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip),” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI