PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam bermula esok hingga 15 Februari ini.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada lawatannya ke negara tersebut.
Katanya, kedua-dua pemimpin itu akan mengambil peluang untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan, di samping mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama pasca Covid-19, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Brunei.
“Ini termasuk perbincangan mengenai cadangan pengwujudan aturan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) melalui udara di antara Malaysia dan Brunei, kerjasama dalam bidang diplomasi kesihatan dan cadangan ke arah pengukuhan kerjasama ekonomi,” katanya hari ini.
Menurutnya, pertemuan itu akan disusuli dengan Majlis Santapan Rasmi yang akan dihoskan oleh Sultan Hassanal Bolkiah.
“Perdana Menteri juga akan menghadiri sesi pertemuan bersama diaspora Malaysia di Bandar Seri Begawan,” ujarnya.
Ismail Sabri akan diiringi oleh isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
“Lawatan ini dirancang dan dikendalikan berdasarkan tatacara prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan Negara Brunei Darussalam,” katanya. – K! ONLINE