KUCHING – Seorang lelaki maut akibat tertimbus selepas lantai bilik tidurnya runtuh dalam kejadian di Lorong 6, Star Garden, dekat sini petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam satu kenyataan berkata, pihak bomba menerima panggilan kejadian pada pukul 2.56 petang.
“Seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Jemiran Kemis dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di tempat kejadian didapati lantai bilik tidur yang terletak di tingkat satu telah runtuh dan terdapat seorang lelaki berumur 58 tahun berada di bawah runtuhan berkenaan,” ujarnya.
Menurutnya, kejadian tersebut dipercayai telah berlaku beberapa hari yang lalu dan hanya disedari oleh abang mangsa hari ini setelah mangsa gagal dihubungi.
“Pihak bomba membongkar timbunan peralatan dalam runtuhan tersebut dan berjaya menemui mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari yang lepas.
“Mayat mangsa diserah kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan operasi tamat pada pukul 4.28 petang,” katanya. – K! ONLINE