PETALING JAYA – Bakal jemaah umrah yang terpaksa membatalkan pemergian ke Tanah Suci bermula 8 Januari lalu akibat penularan jangkitan virus Omicron akan menerima pembayaran sagu hati daripada kerajaan sebanyak RM1,671 seorang pada 18 Februari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyerahkan senarai nama 8,027 jemaah umrah yang terkesan dan layak menerima sagu hati tersebut.
“Kerajaan Malaysia akan menyalurkan pembayaran sagu hati sebagai tanda keprihatinannya kepada jemaah umrah.
“Saya bersetuju agar pembayaran sagu hati hanya dikreditkan menggunakan akaun simpanan Tabung Haji (TH) para jemaah umrah bagi memudahkan urusan.
“Pengkreditan terus sagu hati sebanyak RM1,671 seorang ke dalam akaun simpanan TH akan dibuat pada hari Jumaat, 18 Februari 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Idris berkata, pihak TH bagaimanapun mendapati hampir 1,000 jemaah umrah masih belum mempunyai akaun simpanan TH dan mereka diminta untuk membuka akaun TH sebelum tarikh pembayaran.
Menurut beliau, jemaah umrah boleh melayari laman web www.thijari.com.my untuk membuka akaun simpanan TH secara dalam talian dan hadir ke kaunter TH yang terdekat bagi proses pengaktifan akaun secara biometrik.
Kata beliau, bagi mereka yang mempunyai kesukaran untuk mendaftar secara atas talian boleh terus ke cawangan TH terdekat untuk tujuan pendaftaran.
“Para jemaah yang terkesan akan dilayan dengan serta merta tanpa perlu beratur dan menunggu lama.
“Saya juga telah memaklumkan kepada TH supaya segala tuntutan pembayaran ini dipermudahkan semaksimanya supaya tidak berlaku kesulitan yang besar terhadap tuntutan ini,” katanya.
Kerajaan menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari 2022 berikutan peningkatan kes varian Omicron dan kebenaran diberi semula bermula 8 Februari lalu. – K! ONLINE