KOTA BHARU – Pemain kelahiran Nigeria, Jacob Njoku menjadi taruhan terbaharu yang dibawa masuk ke Kelab Bola Sepak Kelantan United (KUFC) dalam usaha memperkasakan jentera serangan pasukan bagi mengharungi saingan Liga Premier musim ini.
Bekas penyerang Al Shabab FC dari Liga Bahrain yang berusia 24 tahun itu mengikat kontrak selama setahun bersama skuad The Green Deers.
Ketua Jurulatih KUFC, Syamsul Saad berkata, beliau masih dengan optimis kehadiran Njoku itu mampu menambah sengat di bahagian serangan pasukan dalam mengharungi kempen liga musim ini.
Menurutnya, dia mahu Njoku lebih cepat menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan memandangkan saingan liga akan bermula tidak lama lagi.
“Saya berharap dia cepat mengadaptasi taktikal pasukan kerana dalam masa dua minggu ini kita akan tumpukan kepada aspek berkenaan dalam sesi latihan.
“Njoku mungkin bukan seorang pemain yang mempunyai nama besar, namun saya yakin dia boleh bermain dengan baik dan menyumbang banyak gol kepada KUFC pada musim ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE