KUANTAN – Impian seorang lelaki memiliki kereta Mercedes A45 bukan sahaja tidak kesampaian tetapi dia mengalami kerugian sebanyak RM39,000 selepas ditipu sindiket penipuan kereta lelong.
Dalam kejadian itu, sindiket penipuan berkenaan bertindak mengumpan mangsa dengan meminjamkan sementara kenderaan lain yang kemudiannya ‘dicuri’ semula oleh suspek.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian berlaku pada Isnin lalu selepas mangsa melihat iklan penjualan kereta murah yang menawarkan penjualan kereta lelong ketika berada di rumahnya di Bandar Indera Mahkota di sini.
“Mangsa berminat membeli sebuah kereta Mercedes A45 dan menghubungi penjual bernama Fauzi yang mengaku sebagai anggota bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan Putrajaya sebelum mangsa diminta menggunakan sementara kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish sehingga kereta Mercedes berkenaan tiba di Kuantan.
“Selepas mangsa menerima Toyota Wish mangsa diminta membuat pembayaran untuk kereta Mercedes dan mangsa membuat bayaran secara dalam talian dengan tiga kali transaksi ke dalam akaun diberi suspek berjumlah RM39,000 sebelum mangsa diminta menunggu selama dua hari kereta berkenaan tiba,”katanya di sini, hari ini.
Katanya, pengadu yang meletakkan MPV berkenaan di luar pagar hadapan rumah ibunya mendapati kenderaan berkenaan hilang disyaki diambil lelaki yang menghantar kenderaan itu.
Beliau memberitahu susulan itu mangsa menyedari diperdaya dan cuba menghubungi suspek namun tiada jawapan menyebabkan mangsa datang ke balai polis membuat aduan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan bagi mengesan suspek
“Modus operandi kes ini ialah suspek memperdaya pengadu dalam urusan pembelian kereta di Telegram dengan memberi kenderaan untuk diguna pakai sementara bagi menyakinkan pengadu sehingga mendorong pengadu membuat pembayaran.
“Namun setelah pembayaran dibuat kenderaan tersebut diambil semula dan kereta yang dibeli tidak diterima,”katanya. – K! ONLINE.