BEIJING – China mengukuhkan peraturan untuk menghentikan pemberian gaji besar kepada bintang-bintang televisyen dalam langkah terbaharu membanteras budaya selebriti di negara berkenaan, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Perancangan untuk tempoh lima tahun akan datang yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Radio dan Televisyen Kebangsaan adalah mengehadkan gaji pelakon kepada 40 peratus daripada jumlah bajet keseluruhan produksi.
Menerusi pelan tersebut yang dikeluarkan pada minggu ini, gaji pelakon utama tidak boleh melebihi 70 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan semua pelakon, demikian menurut akhbar South China Morning Post.
Ia adalah tindakan keras baharu oleh Beijing dalam mengekang budaya selebriti termasuk melarang golongan itu daripada mempamerkan kekayaan mereka di media sosial.
Sekatan itu dilakukan susulan kemarahan orang ramai pada tahun lalu terhadap pelakon terkenal, Zheng Shuang, 30, yang menerima gaji AS$25 juta (RM104.74 juta) kerana muncul dalam satu siri televisyen.
Pihak berkuasa kebangsaan cawangan Beijing telah diarah untuk menjalankan siasatan kerana pasukan penerbit televisyen itu dituduh melanggar peraturan perkadaran kos, demikian menurut laporan berita tempatan. Tidak dijelaskan berkenaan bajet sebenar keseluruhan rancangan itu.
Shuang juga didenda AS$46 juta (RM193.3 juta) oleh pihak berkuasa Beijing kerana mengelak membayar cukai antara tahun 2019 dan 2020. Aktres comel itu terkenal di China selepas membintangi Meteor Shower dan beberapa filem serta drama lain yang juga mendapat kejayaan.
Pengawal selia penyiaran negeri China juga menarik drama televisyen yang dibintangi Zheng yang dilihat menyinggung perasaan dan mengarahkan penerbit-penerbit untuk tidak lagi mengambilnya berlakon pada masa depan.
Bukan itu sahaja, terdapat beberapa selebriti dan pesohor media sosial lain di negara itu yang terkait dengan kesalahan sehingga disiasat oleh pihak berkuasa kebangsaan- Agensi