fbpx

Biden guna aset Afghanistan untuk bantuan kemanusiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Biden ketika berucap mengenai pengurangan kos penjagaan kesihatan dalam satu lawatan ke Kolej Komuniti Germanna di Culpeper, Virginia pada 10 Februari 2022. – AFP

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS),  Joe Biden kelmarin menandatangani perintah  eksekutif  bagi membenarkan penyaluran aset  milik bank pusat Afghanistan berjumlah AS$7 bilion (RM29.3 bilion) yang sebelum ini dibekukan, lapor stesen penyiaran CNN semalam.

Menurut pegawai-pegawai kanan AS,  aset tersebut akan digunakan untuk bantuan kemanusiaan di Afghanistan serta diagihkan kepada mangsa-mangsa serangan 11 September.

Dana tersebut,  sebelum ini dibekukan oleh AS susulan kejatuhan kerajaan pusat Afghanistan di Kabul pada Ogos tahun lepas. 

Beberapa pegawai berkata,  separuh daripada dana itu akan digunakan untuk menyediakan bantuan kepada rakyat Afghanistan yang kini berdepan kebuluran sejak  pemberontak Taliban mengambil alih tampuk pemerintahan.

Baki sebanyak AS$3.5 bilion (RM14.6 bilion) lagi akan disalurkan kepada mangsa-mangsa serangan 11 September yang berjuang di mahkamah untuk mendapatkan pampasan. Tuntutan mereka masih dibicarakan di mahkamah AS.

Dalam satu panggilan bersama media kelmarin, seorang pegawai kanan pentadbiran AS menyifatkan tindakan itu sebagai  langkah positif supaya  dana tersebut boleh dimanfaatkan oleh penduduk Afghanistan.

Bagaimanapun, pengumuman Biden diselar sebilangan aktivis yang menyifatkan tindakan menyalurkan aset beku kepada waris  mangsa serangan 11 September adalah salah sama sekali kerana rakyat Afghanistan tidak mempunyai kaitan dengan tragedi tersebut.

Pegawai AS sama  bagaimanapun berkata, mereka mempunyai kewajipan untuk memperuntukkan dana tersebut ketika mangsa-mangsa kejadian 11 September membuat tuntutan di mahkamah.

Jurucakap Taliban, Mohammad Naeem turut mengkritik tindakan Biden yang tidak menyalurkan semua dana itu kepada Afghanistan.

“Mencuri dana negara Afghanistan yang sebelum ini disekat dan dirampas oleh AS menunjukkan tahap kemanusiaan yang paling rendah bagi sebuah negara,” kata Mohammad Naeem dalam satu ciapan di Twitter. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI