PETALING JAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan anak bongsunya telah menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 untuk Kanak-Kanak (PICKids) hari ini.
Menerusi perkongsian di laman Twitter miliknya, Khairy berkata anaknya, Raif telah selesai dos pertama di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
“Alhamdulillah selesai vaksinasi dos pertama untuk anak bongsu saya, Raif di WTCKL. Rasa lega beliau dapat perlindungan dari Covid-19,” ciapnya.
Tambah Khairy, dia menyarankan agar ibu bapa di luar sana segera mendaftarkan anak-anak mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin.
“Daftar anak anda untuk PICKids,” katanya.
Terdahulu, pada 3 Januari 2022, Khairy memaklumkan sudah mendaftarkan anaknya yang berusia enam tahun itu untuk menerima suntikan vaksin menerusi tempahan di aplikasi MySejahtera. – K! ONLINE