TOKYO – Mahkamah Daerah Tokyo menjatuhi hukuman penjara lapan tahun terhadap seorang wanita berusia 26 tahun kerana mengabaikan anak perempuannya yang berumur tiga tahun sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia.
Laman berita News On Japan melaporkan semalam bahawa tertuduh meninggalkan mangsa bersendirian di rumah mereka selama seminggu pada 2020.
Mahkamah membuat keputusan tersebut terhadap Saki Kakehashi kelmarin selepas dia, mengaku bersalah.
Wanita itu telah meninggalkan teh dan gula-gula untuk anak perempuannya, Noa di apartmen mereka di bandar Ota ketika dia menghabiskan masa bersama teman lelakinya di bandar Kagoshima selama seminggu. Wanita itu menganggap anaknya akan baik-baik sahaja.
Kakehashi membuat panggilan kecemasan dan berkata, Noa tidak bernafas sejurus sekembalinya daripada percutian tersebut pada 13 Jun 2020, demikian menurut agensi berita Kyodo News.
Noa dibawa ke hospital tetapi disahkan meninggal dunia akibat dehidrasi dan kelaparan. Perut mangsa juga hampir kosong.
Doktor-doktor mendapati ruam di bahagian punggungnya kerana lampin yang tidak ditukar terlalu lama. Pendakwa raya mendakwa Kakehashi cuba menyembunyikan fakta kes dengan menyapu ubat pada ruam tersebut selain menukarkan lampin baharu sebelum dia membuat panggilan kecemasan, lapor Kyodo.
Menurut pendakwa raya, Kakehashi bertindak menyekat Noa di ruang tamu dengan sofa yang menghalang laluan ke pintu dapur sebelum berangkat ke Kagoshima. Bagaimanapun, Kakehashi berkata, ia mahu mengelakkan Noa daripada mencederakan diri sendiri dengan pisau atau barangan dapur lain.
Noa dilaporkan tidak dihantar ke rumah pengasuh selama lebih setahun sebelum dia meninggal dunia. Kakehashi tinggal sendirian bersama anak perempuannya selepas bercerai dengan bapa Noa pada 2016. – Agensi