PUTRAJAYA – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus tahun lalu menunjukkan bahawa langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menangani krisis ekonomi semakin membuahkan hasil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pertumbuhan tersebut akan terus terus didorong oleh pembukaan hampir semua sektor ekonomi serta sosial serta permintaan domestik dan luar yang tinggi.
“Paling penting adalah pertumbuhan ekonomi ini dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat dengan penigkatan sumber pendapatan dan mengekang kenaikan inflasi.
“Insya Allah dengan perancangan yang teliti dan kerjasama seluruh Keluarga Malaysia, hasrat ini akan tercapai,” katanya menerusi satu ciapan di laman Twitter hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa kadar pengangguran turut mencatatkan penurunan kepada 4.2 peratus dan peningkatan aliran pelaburan langsung asing melebihi RM50 bilion manakala jumlah perdagangan luar meningkat kepada RM2 trilion.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam dilaporkan berkata bahawa tanda-tanda pemulihan ekonomi jelas kelihatan melalui prestasi KDNK Malaysia bagi tahun 2021 dengan pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus, berbanding penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun sebelumnya.
Beliau berkata, prestasi ekonomi S4 2021 yang memberangsangkan telah disokong oleh penambahbaikan dalam pasaran buruh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 4.2 peratus dan nilai jualan sektor pembuatan yang meningkat sebanyak 15.5 peratus pada Disember tahun lalu. -K! ONLINE.