PETALING JAYA – Penyanyi lagu parodi, Azman Naim mendedahkan sejak dua tahun lalu dia terpaksa menolak pelawaan menyertai rancangan realiti televisyen.
Katanya yang kini semakin aktif berlakon, dia bukan bersifat cerewet, sebaliknya mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat sedemikian.
“Sebenarnya ada tiga pihak yang ajak saya masuk program nyanyian realiti sejak viral zaman PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) fasa 1 dahulu.
“Tapi saya tolak atas beberapa sebab tertentu. Berulang saya tolak tapi tetap dipanggil. Ada yang sampai hari ini hubungi saya,” kongsinya dalam Instagram.
Usahawan berusia 37 tahun yang dikenali dalam laman sosial sebagai Azman Naim 44 Mantra itu mengakui kurang berbakat dalam bidang nyanyian dan hanya popular dengan ‘merosakkan’ lagu menerusi parodi.
“Salah satunya, saya bukan handal sangat menyanyi dan saya bukan boleh nyanyi semua jenis genre lagu. Takkan saya nak nyanyi lagu dangdut siap gelek?
“Nak buat sekadar untuk rating dan populariti? ‘Kamon’ lah, saya bukan penghibur. Menghibur dan berhibur kena ada ‘limit’,” katanya lagi.
Hantarannya dipercayai untuk mengulas isu kritikan ramai terhadap tindakan penganjur rancangan realiti televisyen yang mengutamakan peserta viral berbanding melihat bakat.
Tambah pemilik Mohd. Nur Azman Naim, 36, itu lagi, dia tetap meletakkan harga diri di tempat pertama berbanding merebut setiap tawaran yang datang.
“Saya pula, kalau tak kena dengan diri, saya tak nak pergi. ‘Not being choosey’, tapi kita kena tahu letak harga diri kat mana. ‘Money and fame can’t buy class’,” katanya.
Menerusi hantaran sama, Azman juga memaklumkan dipujuk dengan pelbagai kata-kata manis namun tetap tidak menggoyahkan keputusannya.
“Ada yang kata, abang ‘join’ lah, nanti boleh viral. Jadi saya tanya dia, kalau lagu-lagu rosak saya tak viral, awak tak hubungi saya kan?
“Bermakna saya memang dah viral. Jadi buat apa nak viral lagi guna kaedah awak? Dan adakah sesuatu yang viral itu memang bagus? Saya tanya lagi. Dia ‘jem’,” kongsinya.
Secara sinis, Naim tidak ketinggalan mengingatkan supaya penggiat industri sama-sama menjaga nilai harta seni.
“Zaman sekarang zaman gila. Orang politik rosakkan politik itu sendiri. Orang dalam seni rosakkan industri itu sendiri.
“Saya memang perosak. Kalau saya sertai, semua akan hancur dan ‘reset’ terus. Berhenti bunuh industri seni kreatif kita,” ujarnya.
Bagaimanapun Azman berpendapat strategi pengendali program mengetengahkan peserta tular semata-mata demi rating bukan sesuatu yang salah.
“Saya faham permainan korporat yang nak rating dengan mencari individu viral untuk program mereka.
“Itu taktik dan bagi saya secara individu, tak salah. Media massa kini bergelut untuk dapatkan penonton sejak wujudnya media sosial dan ‘top content creator’ media sosial,” ulasnya.
Terdahulu, nama personaliti media sosial itu menjadi sebutan selepas menyanyikan lagu parodi MySejahtera Way sehingga mendapat perhatian Sultan Johor.
Setiap parodi yang dikongsikan sejak permulaan fasa PKP menjadi tular kerana dekat dengan khalayak sekali gus seolah-olah mewakili suara ramai.
Pada masa sama, gaya selamba serta bakat dimilikinya turut menarik minat Allahyarham Mamat Khalid menawarkannya membintangi telefilem Kampung Pisang Lockdown.
Terbaharu, Azman turut membintangi siri sitkom siaran viu berjudul A.I.5YA bersama Datuk Afdlin Shauki, Zizan Razak dan Farahdhiya. – K! ONLINE