fbpx

Sukarnya nak cari kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NOR AZIAH MAT NOH,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SUDAH menjadi lumrah buat lepasan graduan universiti untuk menongkah arah mencari pekerjaan selepas bertungkus-lumus selama bertahun demi mendapatkan sehelai kertas sebagai bukti mempunyai pendidikan tinggi.

Setiap anak muda yang baru menapak dalam dunia pekerjaan sudah tentu mengimpikan satu pekerjaan yang stabil serta gaji memuaskan dek kerana kos sara hidup di negara ini semakin tinggi.

Justeru itu, kebanyakan le­pasan graduan universiti ini mula mencari peluang pekerjaan di platform-platform kerja dan tidak henti-henti menghantar permohonan kepada syarikat-syarikat diminati.

Hal ini sejajar dengan pembukaan semula ekonomi pasca ­Covid-19 dan sektor pekerjaan mula kembali pulih, menjadikan peluang pekerjaan mulai membuka ruang untuk graduan muda yang sedang dibakar semangat untuk memulakan hidup.

Menurut statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan penganggur di negara ini semakin berkurangan kepada bawah paras 700,000 orang buat pertama kali sejak pandemik Covid-19 bermula.

Jumlah mereka yang mula bekerja juga meningkat sebanyak 0.4 peratus setakat November lepas.

Namun, berdasarkan peni­laian, jumlah siswazah yang me­nganggur dikira masih tinggi pada paras 75,000 orang.

Graduan muda yang terpaksa menjalani fasa pengangguran ini akan mula berasa terdesak dan meminta peluang kerja tanpa menilai minat, bakat dan juga jenis pekerjaan itu sendiri.

“Asal ada gaji, kecil pun tak me­ngapa.” Itulah ungkapan buat lepasan universiti yang masih menganggur, dapat pekerjaan sudah mencukupi.

Bagaimanapun, pemikiran sebegini tidak sepatutnya diterap dan dibiasakan kerana ba­nyak syarikat ingin mengambil kesempatan terhadap siswazah yang baru memasuki alam pekerjaan.

Gaji yang ditawarkan ketika temu duga tinggi, apabila tawaran kerja dihulurkan, gaji menjadi semakin rendah.

Ini dibuktikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang me­laporkan graduan muda sanggup menerima gaji antara RM1,001 hingga RM1,500 setakat tahun 2020.

Mencantas eksploitasi itu, Ketua Operasi Bahagian Pengambilan dan Sumber Manusia, Prospect Outsourcing Sdn. Bhd., Zetty Zakaria bertegas bahawa graduan muda perlu berfikir satu langkah di hadapan sebelum meminta pekerjaan.

“Kebanyakan syarikat mempunyai proses pengambilan tersendiri, ada syarikat yang menerangkan secara terperinci proses tersebut, manakala sesetengah syarikat lain tidak me­lakukan hal demikian.

“Justeru itu, para siswazah perlu lebih peka dalam menilai sesuatu tawaran pekerjaan dan mereka perlu menyelidik sama ada syarikat itu berlaku jujur atau sekadar ingin menarik minat pencari kerja.

“Tindakan menyiasat dulu latar belakang syarikat penting untuk mengelakkan daripada graduan muda dieksploitasi oleh syarikat yang hanya memikirkan kepentingan sendiri bagi mengurangkan kos,” tegasnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI