fbpx

Sifat ganas toman menarik untuk diburu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IKAN toman sering menjadi buruan kaki-kaki pancing kerana kejayaan menumpaskannya memberikan kepuasan tersendiri.

SUNGAI Johor di Kota Tinggi berkepanjangan 122.7 kilometer merupakan antara sungai terpanjang di negeri Johor yang menyimpan pelbagai khazanah hidupan air tawar.

Tidak hairanlah Sungai Johor merupakan salah satu lokasi tumpuan bagi si kaki pancing untuk mengisi masa mengail ikan-ikan air tawar.

Seorang peniaga kelahiran Kota Tinggi, Mohd. Haiqal Ali, 31, antara individu yang tidak melepaskan peluang kala mempunyai kelapangan masa untuk melunaskan hobinya itu.

Jelasnya, ikan toman atau nama saintifiknya, Channa micropeltes antara spesies yang menjadi buruan setiap kali turun memancing ke Sungai Johor.

“Saya bekerja sendiri iaitu berniaga. Selalunya saya akan turun memancing apabila mempunyai kelapangan bersama bapa saya, Ali Johkan serta rakan-rakan.

“Ikan toman ini tidak ada musim macam ikan siakap atau lain-lain spesies. Di Sungai Johor ini kita kena tahu waktu bila ia suka munculkan diri,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, untuk menewaskan ikan toman, pemancing harus tahu menu kegemaran selain waktu kemuncak kemunculan hidupan itu.

Katanya, anak ikan keli merupakan gizi kegemaran toman selain belut, anak ikan tilapia serta umpan tiruan.

“Lain orang, lain cara atau umpan mereka guna, namun sepanjang saya memancing, kalau kita pakai anak ikan keli, memang senang hendak jinakkan si toman.

“Ada juga yang guna hati ayam, itu pun senang nak dapat. Apa yang penting, kita perlu tahu waktu bila ikan ini aktif suka bermain di tebing Sungai Johor.

“Biasa kalau waktu pagi antara pukul 7 hingga 10 pagi iaitu waktu ikan ini sarapan dan sebelah petang pula antara pukul 4 petang hingga 7 malam. Waktu tengah hari dan malam sikit, toman kurang aktif,” katanya.

SUNGAI Johor di Kota Tinggi yang merupakan sungai terpanjang di negeri itu kaya dengan pelbagai khazanah hidupan air tawar.

Berkongsi cerita lebih lanjut, Mohd. Haiqal berkata, setiap kali turun memancing, dia pasti tidak akan pulang dengan tangan kosong.

Jelasnya, pada kebiasaannya akan membawa naik dua hingga lima ekor bergantung kepada rezeki serta nasib.

Kongsinya, dia pernah ‘menumpaskan’ ikan toman seberat 4 kilogram (kg).

“Memang seronok memancing kerana uji kesabaran dan kekuatan mental kita, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan cabaran si toman.

“Ikan ini jenis yang ganas, apabila ia tarik tali kail, memang kita akan teruji dan apabila dapat bawanya naik, itulah kepuasannya,” katanya.

Mohd. Haiqal berkata, ikan yang berjaya dipancing lazimnya akan dijual kepada penggemar ikan air tawar atau peniaga dengan harga antara RM6 sekilogram.

Selain ikan toman, Sungai Johor turut menyajikan spesies ikan air tawar yang lain seperti ikan patin, haruan, belida, baung, tapah, lampam serta lain-lain lagi.

Sementara itu, Mohd. Haiqal berkata, selain Sungai Johor, dia sering turun ke Sungai Mawai dan Sungai Lebam di negeri ini untuk melepaskan gian.

Ujarnya, Sungai Mawai dikenali sebagai lubuk udang galah.

MOHD. HAIQAL melakukan hobi memancing apabila ada kelapangan.

“Kaki-kaki pancing memang tahu Sungai Mawai merupakan lokasi tumpuan untuk memancing udang galah sebab
mereka suka menghuni kawasan yang terpencil. Biasanya saya akan dapat antara 2 hingga 4kg udang galah,” katanya.

Selain memancing hidupan air tawar, Mohd. Haiqal juga sering turun ke laut untuk memburu spesies ikan gergasi yang menghuni air masin.

Antara lokasi kegemarannya ialah Pulau Pemanggil, Mersing; Tanjung Sedili dan Kemaman, Terengganu.

Menurut Mohd. Haiqal, dek kerana hobinya yang gila memancing, dia mempunyai sembilan joran pelbagai saiz dan jenis selain sudah berhabis kira-kira RM4,000 untuk tujuan itu.

Jelasnya, setiap individu mempunyai hobi tersendiri dan memancing adalah satu hobi yang tidak merugikan. Selain isi masa lapang, dapat juga dijadikan sumber rezeki.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI