fbpx

Rumah penduduk mangsa ribut dibaiki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rumaizi (kiri) melihat kerosakan pada rumah penduduk semasa meninjau kerja-kerja pembaikan bumbung di Taman Tasek Damai, Ipoh pagi tadi.

IPOH – Sebanyak 44 buah rumah penduduk di Taman Tasek Damai di sini yang rosak dalam kejadian angin ribut minggu lalu dibaiki Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) hari ini.

Ia melibatkan penghuni di Jalan Tawas Baru 2 dan Jalan Tawas 12, Taman Tasek Damai.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pembaikan itu dilakukan dengan kerjasama syarikat pemaju Kinta Properties Sdn. Bhd. (Kinta Properties).

Menurutnya, ia melibatkan kos sebanyak RM40,000 meliputi penggantian genting atap dan zink yang rosak.

“Kerja-kerja pembaikan yang telah dijalankan mulai hari ini dijangka siap pada Sabtu depan yang dilakukan sepenuhnya oleh pekerja Kinta Properties.

“Selain di sini, kita juga akan membaiki dua buah rumah yang musnah di Kampung Tawas yang akan dimulakan sebaik pelan rumah baharu siap,” katanya.

Beliau ditemui semasa meninjau kerja-kerja pembaikan rumah penduduk di Taman Tasek Damai yang turut disertai Pengarah Kinta Properties, Edwin Tan Beow Aik.

Sementara itu kata Edwin, pihaknya bersimpati dengan keadaan yang menimpa penduduk dan pembaikan itu dilakukan sebagai tanggungjawab sosial korporat.

“Pihak Kinta Properties bersedia untuk menambah lagi peruntukan sekiranya ada keperluan tambahan kerana mungkin ada rumah yang rosak teruk,” ujarnya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI