WASHINGTON – Sebuah pesawat yang dalam perjalanan dari New York ke Orlando, Florida terpaksa membuat pendaratan cemas di Carolina Utara apabila seorang lelaki mengamuk dan mengugut mahu membunuh semua penumpang, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Pesawat Frontier Airlines dengan nombor penerbangan 1335 itu berlepas dari Lapangan Terbang LaGuardia di Bandar Raya New York dan menuju ke Orlando malam Rabu lalu.
Seorang penumpang lelaki secara tiba-tiba mengamuk dan menjerit sebelum dia dikelilingi oleh penumpang-penumpang lain yang cuba mengikatnya pada kerusi.
Seorang penumpang memberitahu stesen televisyen WTVD bahawa lelaki yang identitinya tidak diketahui itu, mengancam untuk mencederakan seorang bayi dan mengaku mahu membunuh semua penumpang di dalam pesawat tersebut.
Dia dilaporkan menuduh seorang wanita sebagai cuba untuk mencuri asid deoksiribonukleik (DNA) miliknya dengan menggunakan picagari.
“Jangan, lepaskan saya. Tidak!” jerit lelaki berkenaan seperti yang dapat didengari menerusi sebuah rakaman video.
Seorang penumpang lain kemudian didengari menjerit yang meminta orang ramai untuk mengikat lelaki tersebut.
Penerbangan Frontier Airlines itu akhirnya membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Raleigh-Durham di Carolina Utara, di mana lelaki berkenaan dibawa pasukan keselamatan untuk disoal siasat.
Pesawat tersebut ditahan seketika selama dua jam sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan ke Orlando. – AGENSI