CAMERON HIGHLANDS – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang dan Perak akan memastikan tiada ancaman harimau belang di Cameron Highlands dan haiwan liar berkenaan kembali ke habitat asalnya.
Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, pada masa ini kakitangan Perhilitan Pahang dan Perak membuat pemantauan dan mendapatkan maklumat dari penduduk sekitar.
“Pemantauan dibuat berasaskan aduan penemuan tapak kaki hidupan liar berkenaan di Kampung Orang Asli Sungai Ubi pada 10 Februari lalu yang mana lokasi kejadian berada kira-kira satu kilometer dari perkampungan Orang Asli Kampung Ubi.
“Jabatan Perhilitan akan meneruskan pemantauan bagi memastikan harimau ini kembali ke habitatnya dan tiada ancaman kepada penduduk,” katanya di sini hari ini.
Dua hari lalu tular rakaman video mengenai penemuan seekor harimau belang yang dikatakan dikesan di kawasan Cameron Highlands. – K! ONLINE