KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengingatkan larangan memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun dan bunga api masih berkuat kuasa menjelang perayaan Chap Goh Mei pada Selasa depan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, hanya bunga api jenis ‘Pop-Pop’ dan ‘Happy Boom’ sahaja dibenarkan kerana tidak mengandungi bahan bakar merbahaya.
“Bagaimanapun, penjualan kedua jenis mercun ini masih memerlukan permit dari Ibu Pejabat Polis daerah mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Sesiapa yang didapati memiliki, menjual, membeli, bermain mercun atau bunga api selain yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 7 serta 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, perbuatan itu turut melanggar peruntukan Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan boleh dihukum penjara tidak lebih satu bulan atau denda sehingga RM100.
“PDRM menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi undang-undang supaya dapat mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku,” ujarnya. – K! ONLINE