KLANG – Kes pergaduhan yang tular antara tiga peniaga di sebuah pasar pagi di Taman Eng Ann di sini, Selasa lalu berjaya diselesaikan dengan cara baik.
Kejadian itu melibatkan seorang wanita dan pasangan suami isteri yang berselisihan faham di parkir kawasan tersebut.
Berdasarkan video berdurasi selama tujuh minit itu, individu berkenaan bertindak membuang sayuran yang dijual mereka atas jalan dengan pergaduhan dileraikan orang awam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima satu laporan polis dibuat seorang wanita mengenai kejadian itu pada pukul 3.35 petang hari sama.
“Pengadu mendakwa berlaku tolak menolak dengan pasangan suami isteri yang berniaga di kawasan parkir tersebut.
“Ia berikutan pengadu mengalihkan kotak polisterin yang diletakkan di salah satu lot parkir di situ,” katanya dalam kenyataan petang tadi.
Jelas beliau, kejadian berkenaan turut tular di media sosial menerusi satu video semalam.
Tambah Vijaya, kesemua individu yang terlibat sudah dipanggil ke balai polis bagi direkodkan keterangan.
“Kedua-dua pihak tidak mahu memanjangkan perkara itu dan mahu menyelesaikannya dengan cara baik. Kes diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (TTL),” katanya. -K!ONLINE