LOMBOK – Dua pelumba pasukan Aprilia Racing, Maverick Vinales dan Aleix Espargaro melaungkan amaran bahawa mereka bersedia untuk memburu kemenangan selepas jentera RS-GP 2022 diperkenalkan secara rasmi kelmarin.
Jentera yang ‘disulam’ dengan warna hitam dan merah serta hasil positif ketika aksi pramusim di Sepang minggu lalu membuatkan pasukan dari Itali itu bersemangat untuk mencari penamat lebih baik untuk musim ini.
Vinales dan Espargaro dalam reaksi pertama mereka mengakui optimis dan yakin Aprilia mampu menjadi sebuah pasukan yang kompetitif terutama dalam perebutan gelaran dunia pada musim ini.
“Saya tidak sabar untuk kembali ke trek dengan pasukan dan sangat bersemangat untuk mengecapi kejayaan dalam karier saya.
“Saya akui ketika ini masih dahagakan kemenangan terutama sekali saya sedang berada di puncak karier. Justeru, tujuan saya adalah ingin membawa Aprilia dengan keputusan yang membanggakan,” kata Espargaro.
Sementara itu, Vinales sangat berpuas hati dengan segala usaha keras pasukannya sekali gus yakin mereka kini hanya perlu melakukan terbaik di atas litar kerana jentera mereka hampir sempurna.
“Perasaan saya luar biasa sebaik sahaja melangkah masuk menyertai Aprilia. Tujuan saya berada dalam pasukan ini ialah membawa Aprilia ke puncak.
“Ini adalah matlamat yang kita semua sedang usahakan. Saya rasa tidak adil untuk meletakkan ramalan. Saya lebih suka memberi tumpuan kepada cara kita bekerja.
“Saya percaya, keputusan positif akan hadir berlandaskan atas usaha keras yang kita lakukan sebelum-sebelum ini,” tegas Vinales. – AGENSI