PETALING JAYA – Harapan golongan muda untuk memiliki kediaman sendiri semakin cerah dengan penetapan hala tuju Program Perumahan Rakyat (PPR) yang mengambil kira keperluan semasa ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni atau Liveable Malaysia.
Ini ditambah strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) dengan matlamat Satu Keluarga Satu Rumah.
Selain itu, kerajaan turut mempermudahkan pinjaman untuk golongan B40 dan M40 membeli rumah PPR dan rumah mampu milik, dengan fokus diberi untuk pembelian terus dan rent to own (sewa untuk milik).
Menurut seorang pekerja swasta, Nornadia Mat Jaapar, 36, inisiatif yang diperkenalkan kerajaan sangat membantu golongan penyewa sepertinya yang kini sedang tercari-cari sebuah kediaman selesa dan sesuai buat dirinya dan keluarga.
Jelas Nornadia, selepas lebih 13 tahun menyewa bersama suami di Kelana Jaya, sudah tiba masanya buat mereka membeli rumah sendiri yang bersesuaian dengan tahap pendapatan.
“Saya menyambut baik usaha kerajaan kerana untuk memiliki kediaman di bawah RM300,000 di sekitar Lembah Klang amat sukar, terutamanya di sekitar kediaman saya.
“Setiap tahun harga kediaman semakin meningkat, jadi jika kami tidak membeli sekarang, saya khuatir sampai bila-bila pun kami terpaksa terus menyewa.
“Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam (kelmarin) berhubung hala tuju baharu PPR sangat melegakan kami sekeluarga,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Perdana Menteri selepas Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara kelmarin mengeluarkan kenyataan bahawa pembinaan PPR baharu akan mengambil kira elemen seperti keterhubungan dan akses internet seperti fibre to the home (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomik dan lebih selesa.
Tambahnya, kerajaan juga komited menyediakan rumah mampu milik untuk generasi muda supaya mereka dapat memiliki kediaman sendiri.
Sementara itu, seorang kakitangan sebuah syarikat pembinaan, Mohd. Zaibidi Yusof, 32, berkata, langkah kerajaan itu tidak hanya akan membantu golongan berpendapatan rendah, malah kumpulan M40 sepertinya yang kini hanya mampu menyewa kediaman di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
Jelasnya, meskipun berstatus M40, kos perbelanjaan dan sara hidup yang kini semakin meningkat menyukarkan dia dan keluarganya untuk memiliki kediaman sendiri di ibu kota.
“Saya berharap kerajaan dapat memperbanyakkan perumahan mampu milik dan PPR khususnya di Kuala Lumpur kerana tidak semua golongan M40 mampu membeli kediaman yang ditawarkan di pasaran pada paras harga sekarang.
“Jika boleh perbanyakkan pembangunan rumah di bawah paras harga RM300,000 kerana buat masa ini, hanya rumah jenis ini yang mampu dibeli oleh kebanyakan golongan B40 dan M40,” ujarnya.