fbpx

Ebby Yus dapat rumah mampu milik RM56,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUMAH baharu Ebby dijangka siap dalam masa dua bulan lagi.

PETALING JAYA – Walaupun tidak mendapat semula rumah impian yang musnah dalam kejadian banjir baru-baru ini, pelakon dan juga pelawak Ebby Yus terharu apabila menerima sumbangan kerajaan berbentuk rumah mesra rakyat bernilai RM56,000.

Ebby atau nama lengkapnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 56, ketika dihubungi Kosmo! Online bersyukur atas pemberian rumah oleh kerajaan yang dibina di tapak rumah asal yang musnah dihanyutkan banjir pada Disember tahun lalu.

“Alhamdulillah. Saya bersyukur diberi rumah oleh kerajaan selepas bencana yang berlaku baru-baru ini. Walaupun bukan rumah impian yang saya idam-idamkan sebelum ini, sekurang-kurangnya saya diberi ‘sesuatu’ sebagai ganti.

“Rumah baharu ini dibina di tempat yang sama, cuma lokasinya agak jauh berselang kira-kira tiga lot dari tapak rumah asal yang dihanyutkan banjir,” katanya.

Kata Ebby, dia belum memikirkan lagi untuk membuat sebarang pengubahsuaian atau penambahan pada rumah baharunya kerana mengakui tidak mempunyai modal untuk melakukannya.

“Saya difahamkan rumah tersebut akan siap dibina dalam masa dua bulan. Setakat ini saya belum bercadang untuk melakukan apa-apa penambahan kerana memerlukan modal yang besar.

“Saya ada bercadang nak tambak kawasan terhakis dan memasang benteng penahan. Tetapi modalnya besar. Malah kalau pasang benteng pun tak boleh beri apa-apa jaminan kalau hendak dibandingkan dengan kuasa alam,” katanya.

Ketika disoal tentang harapannya, Ebby berharap rumah baharunya nanti dapat disiapkan dengan baik untuk diduduki.

“Kalau ikutkan impian saya lain. Tetapi apa pun saya tetap bersyukur dan berharap supaya dimurahkan rezeki oleh Allah SWT,” katanya.

Sementara itu, Ebby turut berkongsi perkembangan kesihatannya yang sebelum ini diuji dengan masalah paru-paru.

“Alhamdulillah, doktor sudah buat pemeriksaan dan keadaan paru-paru saya sekarang tidak memerlukan rawatan sampai perlu ditebuk. Walau bagaimanapun, saya perlu menjalani rawatan susulan di hospital.

“Terima kasih sebab ingat dan mendoakan kesihatan saya pulih. Terima kasih buat semua yang mendoakan dan percayalah, doa kepada saya berbalik kepada kalian semua. Doa yang baik-baik,” katanya.

Terdahulu, Ebby mengalami kerugian lebih RM200,000 apabila rumah baharu yang dibinanya di Kampung Paya Lebar, Hulu Langat sejak empat tahun lalu musnah sepenuhnya dalam kejadian banjir pada 18 Disember lalu.

Kediaman dua tingkat yang dibina Ebby di atas tanah dibeli secara kongsi bersama abangnya itu dibangunkan berperingkat mengikut modal yang dikumpul hasil kerjaya seninya.

Malah, rumah impian Ebby itu hanya tinggal 10 peratus saja untuk siap sepenuhnya dan dia juga sudah merancang masuk tinggal di situ pada Januari lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI