ROMPIN – Polis berjaya merampas dadah dipercayai jenis heroin dan syabu seberat 487.38 gram bernilai RM25,700 dalam empat serbuan yang dilakukan bermula Jumaat lalu hingga kelmarin di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azahari Mukhtar berkata, dalam serbuan itu polis turut menahan 12 individu termasuk seorang wanita untuk siasatan lanjut.
“Dalam serbuan yang dilakukan polis berjaya merampas dadah jenis heroin dengan anggaran berat 455.43 gram dan dadah jenis syabu seberat 31.96 gram.
“Polis turut menyita lapan buah motosikal, sebuah kereta dan sebuah pacuan empat roda daripada suspek yang ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azahari dalam serbuan pertama pada 4 Februari lalu seramai tiga lelaki ditahan di sebuah rumah di Jalan Janglau 3 yang menemukan satu peket plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 36.3 gram.
Katanya, serbuan kedua pada 7 Februari lalu di kawasan ladang sawit Felda Selancar 3 pula menemukan dadah jenis heroin seberat 60.56 gram dan syabu seberat 15.32 gram selepas menahan tiga lelaki.
Tambahnya, serbuan berasingan pada hari yang sama di Perwira Jaya Muadzah Shah pula menemukan 53.52 gram dadah disyaki jenis heroin dan syabu seberat 16.64 gram selepas menahan tiga lagi lelaki.
“Dalam serbuan keempat di sebuah hotel bajet di bandar Rompin semalam polis berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita serta merampas dadah disyaki jenis heroin dengan anggaran berat 205 gram,” katanya.
Sementara itu beliau berkata, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Katanya, siasatan giat dilakukan dan berdasarkan siasatan awal mendapati keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 100 hingga 150 orang penagih dadah pada satu-satu masa. – K! ONLINE