fbpx

Che Adams musnahkan hajat United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADAMS (tengah) menjaringkan gol penyamaan buat Southampton ketika menentang United di Old Trafford sebentar tadi. - AFP

MANCHESTER – Manchester United harus menyalahkan diri sendiri selepas mensia-siakan kelebihan satu gol apabila seri 1-1 dengan Southampton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford sebentar tadi.

Dalam aksi itu, United berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-21 menerusi serangan balas pantas menarik hasil gerakan Marcus Rashford yang berjaya disudahkan dengan baik oleh Jadon Sancho.

Ia adalah jaringan kedua Sancho dalam saingan EPL dan yang pertama buatnya di Old Trafford sejak menyertai United daripada Borussia Dortmund dengan yuran perpindahan bernilai £73 juta (RM414.79 juta) awal musim ini.

Penjaga gol United, David De Gea layak menjadi pujian kerana menyelamatkan dua peluang keemasan Southampton masing-masing menerusi Stuart Armstrong dan Armando Broja dalam babak pertama.

SANCHO (tengah) membuka tirai jaringan buat United selepas memanfaatkan hantaran Rashford dalam separuh masa pertama. – AFP

Hajat skuad bimbingan Ralf Rangnick untuk menggandakan kedudukan tidak kesampaian apabila gol Paul Pogba pada hujung separuh masa pertama dibatalkan selepas Cristiano Ronaldo berada dalam kedudukan ofsaid.

Bersambung babak kedua, Southampton membuktikan kehebatan mereka apabila berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi jaringan cantik Che Adams untuk menewaskan De Gea pada minit ke-48.

Aksi selepas itu menjadi lebih rancak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dalam usaha mencari gol kedua, namun De Gea dan penjaga gol Southampton, Fraser Forster bertindak cemerlang menafikannya.

The Red Devils sekali lagi dikecewakan gol kedua apabila pengadil, Stuart Attwell membatalkan jaringan Ronaldo yang berada dalam kedudukan ofsaid ketika menerima bola daripada Sancho pada minit ke-74.

ATTWELL (depan) membatalkan dua jaringan United disebabkan Ronaldo berada dalam kedudukan ofsaid. – AFP

Pengurus Southampton, Ralph Hasenhuttl tentunya individu paling gembira dengan keputusan itu meskipun pasukannya mensia-siakan banyak peluang untuk menjaringkan gol kemenangan dalam aksi tersebut.

Apa tidaknya, kali terakhir Southampton beraksi di Old Trafford menyaksikan mereka dibelasah teruk 0-9 kepada United pada 3 Februari tahun lalu.

Ia adalah keputusan positif buat Southampton yang kini menghuni kelompok 10 teratas EPL berbanding United kerana ini merupakan kali kedua berturut-turut mereka seri selepas diikat 1-1 dengan Burnley pada Rabu lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI