fbpx

Australia umum koala spesies terancam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEEKOR koala mengalami dehidrasi dan cedera sedang menerima rawatan di Hospital Koala Port Macquarie pada 2 November 2019. - AFP

CANBERRA – Australia semalam secara rasmi mengklasifikasikan koala sebagai haiwan terancam di kawasan merentasi pantai timur negara itu akibat aktiviti pembakaran hutan, pembersihan tanah, kemarau dan penyakit, lapor laman berita Wion News.

Sejak dua dekad lalu, populasi koala di kebanyakan kawasan di timur Australia merosot manakala ahli-ahli konservasi memberi amaran, haiwan itu kini berada dalam situasi  bahaya dan menuju kepupusan.

Menurut anggaran Jawatankuasa Saintifik Spesies Terancam, bilangan koala menurun daripada 185,000 ekor pada 2001 kepada hanya 92,000 pada 2021.

Haiwan yang menjadi simbol hidupan liar yang unik di Australia dan diiktiraf secara global itu disenaraikan sebagai ‘terdedah’ kepada bahaya sedekad lalu.

Menteri Alam Sekitar, Susan Ley berkata, beliau telah menetapkan koala sebagai spesies terancam supaya perlindungan lebih menyeluruh boleh dilaksanakan di habitat koala di negeri New South Wales, Wilayah Ibu Kota Australia dan Queensland.

“Kami mengambil tindakan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini untuk melindungi spesies koala,’’ jelas menteri itu sambil menekankan janji kerajaan memperuntukkan dana AS$36 juta (RM150.82 juta) untuk melindungi dan memulihkan habitat koala.

Dalam pada itu, penyokong-penyokong alam sekitar bersetuju dengan status baharu haiwan tersebut sambil mengkritik Canberra kerana tidak melakukan tindakan yang mencukupi untuk melindungi spesies berkenaan.

“Koala yang pada awalnya tidak tersenarai, menjadi ‘terdedah kepada bahaya lalu bertukar kepada spesies terancam dalam tempoh satu dekad. Ini adalah kemerosotan yang sangat pantas,’’ kata saintis pemeliharaan Tabung Hidupan Liar (WWF-Australia), Stuart Blanch.

“Keputusan hari ini (semalam) dialu-alukan tetapi ia tidak akan menghalang koala daripada tergelincir ke arah kepupusan, melainkan disertai dengan undang-undang lebih ketat serta insentif pemilik tanah untuk melindungi hutan yang didiami spesies berkenaan,’’ jelas Blanch.

Penyelidikan oleh Yayasan Pemuliharaan Australia bagaimanapun menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan telah meluluskan pembersihan kawasan habitat koala seluas lebih 25,000 hektar ketika spesies itu diisytiharkan ‘terdedah kepada bahaya’ sejak sedekad yang lalu. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI