SEREMBAN – Seorang warga emas didakwa di dua kamar Mahkamah Majistret berasingan di sini hari ini atas lapan pertuduhan menipu dengan menawarkan baucar penginapan hotel tidak wujud keseluruhan bernilai RM5,321 dua tahun lalu.
Tertuduh, Mat Isa Mat Dali, 56, yang juga seorang pemandu bas bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kelapan-lapan pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majisret Mohd. Firdaus Saleh dan Nozaliza Tesmin.
Terdahulu, tertuduh tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah pada pukul 10.10 pagi dalam keadaan kaki berhencut disebabkan masalah saraf daripada penyakit angin ahmar dihadapinya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdayakan tujuh orang mangsa dengan menawarkan baucar penginapan di sebuah hotel terkemuka di Port Dickson di mana baucar tersebut tidak wujud sehingga mendorong mereka memasukkan wang berjumlah antara RM360 hingga RM1,557 ke dalam akaun bank tertuduh.
Kesemua mangsa tidak akan menyerahkan wang itu sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Kesalahan itu dilakukan pada 20 Julai hingga 16 Ogos 2020 di beberapa lokasi sekitar Nilai.
Tertuduh turut didakwa atas satu pertuduhan menipu dengan memperdayakan seorang wanita dengan menawarkan perkhidmatan mengeluarkan mangsa daripada senarai hitam bank di mana perkhidmatan tersebut tidak wujud sehingga mendorongnya memasukkan wang RM1,000 ke dalam akaun bank tertuduh.
Kesalahan itu dilakukan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Pekan Mantin di Nilai pada pukul 4.40 petang, 5 Julai 2020.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding kes Mat Isa yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan paling minima atas alasan menghidap penyakit ahmar serta isterinya hanya seorang suri rumah dan mempunyai penyakit diabetis.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM24,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua sembilan pertuduhan tersebut. -K! ONLINE