PARIS – Bekas pemain antarabangsa Perancis, Frank Leboeuf percaya pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino gagal memastikan bilik persalinan pasukan bimbingannya ‘kekal harmoni’ kerana tidak cukup tegas dan dihormati.
Sebagai rekod, Pochettino dilihat gagal memberikan impak yang diharapkan meskipun sudah lebih setahun membimbing pasukan itu sekali gus dijangka bakal berundur apabila saingan musim ini berakhir pada Mei depan.
Kata Leboeuf, Pochettino tidak sebagus seperti ketika mengendalikan skuad Tottenham Hostpur kerana dia tidak dapat menyatukan pasukan dan ia terbukti selepas gagal membantu pasukan menjuarai Ligue 1 musim lalu.
“Dia bukanlah pengendali sebagus seperti yang kita sangka dan buat masa ini ramai yang menyatakan dia tidak mampu mengawal situasi di bilik persalinan. Secara jujur, saya tidak terkejut kerana ia berlaku kepada semua bekas pengendali PSG sebelum ini.
“Ia adalah tugas mustahil buat mana-mana jurulatih yang mahu dihormati setiap pemain terutama apabila PSG memiliki barisan pemain bertaraf bintang yang mempunyai ego tersendiri.
“Bagaimanapun, tidak adil untuk menyalahkan Pochettino semata-mata kerana dia masih berjaya melakukan tugas yang baik ketika bersama Spurs tetapi mungkin kemampuannya setakat itu sahaja dan tidak boleh ditambah baik lagi,” katanya.
Pochettino dilihat hampir pasti menjulang trofi pertama bersama pasukan PSG musim ini selepas membantu pasukan mendominasi carta League 1 dengan kelebihan 13 mata.
Mereka dijadualkan bertemu dengan pasukan tangga kelima, Rennes awal pagi esok selain turut dijadual menghadapi Real Madrid pada pusingan 16 pasukan terbaik dalam misi memburu kejuaraan Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah kelab itu. – AGENSI