KUMPULAN rock ternama tanah air, Wings akan mengadakan persembahan eksklusif buat peminat setia mereka menerusi penganjuran Wings Rock & Dine 36th Anniversary Celebration di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur pada 26 Februari ini.
Biarpun dunia seni tanah air masih dikekangi wabak Covid-19, Wings yang dianggotai Datuk Awie selaku vokalis, Syam (gitaris utama), Edrie (gitar kedua), Eddie (bass) dan Black (dram) optimis ‘perjumpaan’ bersama peminat dapat dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Tiket laris
Dalam tempoh seminggu, tiket persembahan mereka laris seperti pisang goreng panas apabila lebih 57 buah meja untuk makan malam sudah terjual.
“Alhamdulillah, sambutan yang sangat menggalakkan daripada para peminat untuk persembahan Wings yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Setakat ini, kami sedang sibuk dan giat menjalani latihan demi memberikan persembahan terbaik pada malam penganjuran.
“Tak sabar berseronok dengan peminat walaupun dunia sekarang masih tertekan disebabkan virus Covid-19,” kata Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman.
Sedar situasi sekarang masih belum stabil disebabkan virus maut tersebut yang bukan hanya menghantui bumi Malaysia bahkan seluruh dunia, Awie memberitahu, pihak penganjur termasuk Wings akan memastikan yang terbaik agar SOP sentiasa dipatuhi walaupun dalam acara hiburan.
“Kami sedia maklum tentang peningkatan kes Covid-19 disebabkan varian Omicron. Kalau kes masih lagi meningkat dan membuatkan ramai bimbang, kami tiada pilihan selain membatalkan persembahan dan menangguhkan pada satu tarikh lain.
“Bagaimanapun, insya-Allah persembahan akan berjalan seperti dirancang.
“Menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka yang hadir pada malam persembahan nanti.
“Kami juga berharap untuk mengadakan persembahan berkonsep sama di negeri-negeri lain seperti Johor, Pulau Pinang, Melaka dan Sabah kalau situasi di negara kita kian memulih,” ujar Awie, 54.
20 lagu, dua jam
Mengulas tentang persediaan menjelang persembahan, Awie memberitahu, sebanyak 20 buah lagu popular Wings akan didendangkan.
“20 buah lagu akan dipersembahkan dan durasi persembahan sekitar dua jam. Disebabkan persembahan ini bersifat ‘intimate’ dan eksklusif, tidak boleh menjangkakan
Wings dan para peminat akan ‘head-banging’ seperti zaman pra pandemik.
“Kita semua perlu sedar diri, bagaimanapun, perjalanan hidup perlu diteruskan. Artis seperti kami perlu bekerja demi kelangsungan hidup masing-masing dan perjalanan seni Wings yang kian mencecah usia 40 tahun penubuhan.
“Kami pun tak nak kena saman disebabkan langgar SOP. Doakan sahaja yang baik-baik agar urusan semua orang dipermudahkan,” jelas Awie.
Tiket berharga serendah RM3,500 sehingga RM15,000 untuk bilangan lapan orang semeja kini terjual laris.
Untuk sebarang maklumat lanjut, sila berhubung dengan individu-individu menerusi nombor yang tertera pada poster tertera.
Persembahan dijangka bermula pukul 8.30 malam hingga 11.30 malam bertempat di Taming Sari Grand Ballroom, Royale Chulan Kuala Lumpur pada 26 Februari ini.