TANGKAK – Proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang ditetapkan pada 12 Mac depan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak boleh ditangguhkan kecuali terdapat pengisytiharan darurat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun berkata, darurat tidak mungkin akan diadakan kerana tidak mempunyai sebab yang kukuh selain kerajaan tidak bercadang menyekat pergerakan rakyat sekali lagi.
Beliau berkata, darurat juga tidak hanya boleh melibatkan Johor sahaja bagi mengelak PRN dilakukan kerana jika mengambil kira jumlah kes yang tinggi kelmarin, ia melibatkan seluruh negara.
“Hanya ada satu sahaja yang membolehkan kita tangguh pilihan raya iaitu adakan darurat. Apabila dewan dibubarkan, PRN ditetap tarikh (maka) kalau nak tangguh hanya dengan umum darurat
“Tetapi saya percaya perkara ini tak akan berlaku sebab di Melaka sebelum ini pun kes ada. Malah, Kementerian Kesihatan dan saya sendiri ada cakap bahawa kita terpaksa hidup bersama Covid-19 sebagai endemik sama seperti penyakit lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program Ramah Mesra bersama Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Ledang di Dewan Putra, Padang Lerek, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO mengulas kenyataan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang menggesa kerajaan menangguhkan PRN Johor atau membenarkan parti yang bertanding untuk berkempen secara terbuka.
Majlis Presiden PH berkata, ia bagi memastikan tiada pihak menjadikan peningkatan kes Covid-19 sebagai alat bagi tujuan politik walaupun kes jangkitan harian menunjukkan trend peningkatan akibat varian Omicron.
Mengulas lanjut, ujar Perdana Menteri, prosedur operasi standard (SOP) melibatkan PRN Johor akan diumumkan oleh SPR seperti dalam siri PRN lalu bagi memastikan perjalanan pilihan raya itu berjalan lancar.
Sementara itu, beliau mengulangi jaminan bahawa kerajaan juga tidak akan mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali secara bersasar seperti yang dilakukan ketika ini.
Menurutnya, jika PKP dilaksanakan semula, pelbagai pihak khususnya yang terlibat dalam sektor ekonomi dan pelancongan akan terjejas teruk atau gulung tikar.- K! ONLINE