KUALA LUMPUR – Seramai 88 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan menerusi Ops Pintas dijalankan Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di perairan Tanjung Karang dekat Kuala Selangor, awal pagi semalam.
Ketua Penolong Pengarah D3 ATIPSOM, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, operasi yang dijalankan pada pukul 4 pagi bersama Unit Risik dan Bot Ronda Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Pelabuhan Klang itu membawa kepada penahanan semua warga Indonesia tersebut.
“Seramai 88 orang PATI, termasuk tekong dan tiga pembantu berusia antara 42 hingga 52 tahun ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dipercayai baru masuk ke negara ini.
“Tangkapan dibuat atas sebuah bot kayu di 0.9 batu nautika dari pesisiran Pantai Sungai Serdang di Klang Utara yang disyaki membawa migran warga Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, melalui penahanan itu pihaknya turut merampas sebuah bot kayu, satu enjin bot dan tiga telefon bimbit bagi membantu siasatan.
“Hasil siasatan mendapati tekong terbabit aktif menyeludup keluar dan masuk migran ke Malaysia sejak tiga bulan lalu melalui jalan laut tidak diwartakan.
“Selain itu, bayaran dikenakan untuk masuk ke Malaysia adalah antara empat hingga lima juta rupiah (RM1,200 hingga RM1,500) yang dibayar kepada ejen di Tanjung Balai, Indonesia.
“Semua tahanan dan rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Atipsom 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – K! ONLINE.