PUTRAJAYA – Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 3.6 peratus pada suku keempat 2021 (S4 2021) berbanding penguncupan sebanyak 3.4 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pertumbuhan KDNK bulanan kembali positif sepanjang S4 2021 dan momentum pemulihannya terus mencatat pertumbuhan sebanyak 2.6 peratus pada Disember, susulan pertumbuhan yang memberangsangkan pada November sebanyak 5.4 peratus dan 2.7 peratus pada Oktober 2021.
“Pertumbuhan ini mencerminkan penambahbaikan momentum pemulihan ekonomi negara yang akan diperkukuh dengan pemberian dos penggalak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), serta peralihan seluruh negara ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.
“Secara keseluruhan, tanda-tanda pemulihan ekonomi jelas kelihatan melalui prestasi KDNK Malaysia bagi tahun 2021 dengan pertumbuhan sebanyak 3.1 peratus, berbanding penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, prestasi ekonomi S4 2021 yang memberangsangkan telah disokong oleh penambahbaikan dalam pasaran buruh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 4.2 peratus dan nilai jualan sektor pembuatan yang meningkat sebanyak 15.5 peratus pada Disember lalu.
“Perdagangan luar negeri mencatat rekod tertinggi sepanjang suku keempat di mana jumlah dagangan negara pada 2021 melebihi paras RM2 trilion dengan peningkatan tahunan sebanyak 24.8 peratus iaitu pertumbuhan tertinggi sejak tahun 1994.
“Pertumbuhan ini disumbang oleh aktiviti ekonomi global yang kukuh khususnya dalam
kalangan rakan dagang utama negara dan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia mencatat
aliran masuk bersih berjumlah RM24.7 bilion pada S4 2021 menjadikan jumlah FDI tahun 2021
melebihi RM50 bilion (2020: RM14.6 bilion),” katanya.
Jelas Tengku Zafrul, dari segi pasaran kewangan Malaysia, sistem perbankan adalah kukuh dengan nisbah perlindungan mudah tunai mencatat 154 peratus pada Disember 2021 manakala rizab antarabangsa Malaysia kekal tinggi pada akhir Disember 2021 dengan jumlah sebanyak AS$116.9 bilion. – K! ONLINE.