fbpx

Kawal bilangan pelajar perubatan elak isu doktor kontrak berulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Bilangan pelajar baharu dalam bidang perubatan masih perlu dikawal walaupun kerajaan mengumumkan jawatan tetap doktor akan dibuka bermula tahun 2023 hingga 2025.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Koh Kar Chai berkata, langkah itu bagi mengelakkan isu lambakan doktor dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berstatus kontrak berulang.

“Kami berterima kasih kepada Menteri Kesihatan kerana akhirnya kita melihat ada cahaya di hujung terowong dalam isu yang telah lama berpanjangan ini.

“Ketika jawatan tetap baharu akan dibuka setiap tahun seperti diumumkan, jumlah pelajar baharu perubatan dalam negara masih perlu dikawal,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Kenyataan akhbar itu merupakan kenyataan bersama beliau dan Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) serta Malaysian Medics International (MMI).

Terdahulu, Kar Chai berkata, pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah 800 jawatan tetap untuk pakar perubatan secara tahunan dialu-alukan.

Menurut beliau, KKM namun diharap menambah jumlah jawatan itu bagi mencapai sasaran seramai 18,000 doktor pakar di negara ini menjelang tahun 2025.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan sebanyak 8,686 jawatan tetap tambahan membabitkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi akan diwujudkan di KKM sepanjang tempoh 2022 sehingga 2025.

Daripada jumlah itu, sebanyak 4,186 jawatan tetap tambahan akan diwujudkan di KKM pada tahun ini bagi tujuan melantik seramai 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.

Selain itu, sekurang-kurangnya 1,500 jawatan tetap pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi juga akan diwujudkan di KKM pada setiap tahun mulai tahun 2023 hingga 2025. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI