PETALING JAYA – Nama Iqbal Zulkefli meledak dalam sekelip mata pada minggu ini selepas diumumkan sebagai peserta ke-12 program Big Stage musim ketiga (BS3) yang berlangsung pada Ahad lalu.
Terkesan dengan tohmahan yang dilempar terhadapnya, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Vida itu menjelaskan dia akan mengundurkan diri daripada program tersebut.
“Saya akan mengundurkan diri, jangan risau. Untuk minggu kedua nanti, kemungkinan besar akan menjadi minggu terakhir saya berada di pentas BS3.
“Biar apa yang terjadi, saya hanya ingin selesaikan tanggungjawab sahaja,” katanya dalam satu hantaran Instagram semalam.
Dalam pada itu, pelantun Hujan berkenaan mengakui tidak terlepas daripada berasa sedih dengan situasi yang melanda dirinya terutama jutaan kecaman daripada netizen.
“Saya sedih. Walaupun telah jujur, masih ramai menghina.
“Saya maafkan asalkan semua gembira tetapi itu semua tidak mengubah pendirian saya untuk berkata jujur,” katanya lagi.
Meskipun kecewa dengan penghinaan yang diberikan terhadapnya, dia tetap memohon doa ramai untuk persembahannya pada konsert minggu kedua BS3 pada Ahad depan.
“Selain itu, saya berharap kalian semua sudi mengundi saya pada hari persembahan nanti sebagai ucapan dan tanda semangat kepada saya,” ujarnya.
Sejak Ahad lalu, Iqbal menjadi bahan bualan netizen selepas ramai yang berpendapat dia tidak layak untuk menyertai BS3 kerana kemampuan vokalnya.
Penyertaannya juga mendapat kritikan ramai termasuk beberapa selebriti tanah air seperti penyanyi, Datuk Hattan dan komposer, Julfekar. – K! ONLINE