ALOR SETAR – Helah penyeludup menggunakan bot nelayan tempatan untuk menyeludup 1.2 tan daun ketum ke Thailand gagal apabila dikesan penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) pada semalam.
Bot kelas A itu ditahan di kedudukan 0.9 batu nautika timur laut dari muara Kuala Kedah pada pukul 6 pagi.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, hasil maklumat risikan, pihaknya mengesan sebuah bot nelayan dalam keadaan mencurigakan berhampiran muara Kuala Kedah.
“Sejurus menerima maklumat, bot ronda APMM telah diatur gerak ke lokasi tersebut untuk melakukan serbuan.
“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan dan memecut laju ke arah daratan berhampiran sebelum lolos dengan terjun ke dalam laut di kawasan paya bakau,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemui 120 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki mengandungi daun ketum seberat kira-kira 1.2 tan dianggarkan bernilai RM216,000.
“Penyeludupan masih berlaku berikutan harga pasaran semasa daun ketum di Thailand mencecah lebih RM180 sekilogram berbanding pasaran tempatan hanya kira-kira RM30 sahaja,” ujarnya. – K! ONLINE