PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menunggu laporan penuh pegawai pengadil sebelum menjatuhkan hukuman terhadap pemain-pemain Penang FC dan Terengganu FC II (TFC II) yang ‘bergaduh’ pada aksi pramusim Piala Menteri Besar Terengganu kelmarin.
Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, perlawanan antara kedua-dua pasukan terpaksa dihentikan selepas pemain skuad Harimau Kumbang, Adib Raop mengalami pendarahan di bahagian hidung selepas ditumbuk oleh pemain TFC II.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Mohd. Firdaus Mohamed berkata, hukuman akan diberikan sewajarnya kepada mereka yang terlibat dalam insiden tersebut tetapi pihaknya perlu mendapatkan laporan penuh terlebih dahulu.
“Kita akan melakukan siasatan terperinci kerana ini adalah insiden yang cukup serius kerana memalukan bola sepak tempatan tetapi harus menunggu laporan penuh daripada pengadil perlawanan dahulu.
“Kemudian, barulah kita akan serahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk menjatuhkan hukuman yang sewajarnya kepada pihak yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus yang juga Naib Presiden FAM turut menyeru agar pasukan yang bertanding pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini turut menitikberatkan aspek disiplin pemain selain fokus kepada teknikal di atas padang semata-mata.
“Sekarang memang masa untuk melakukan aksi pramusim tetapi tidak wajar pihak pengurusan pasukan sekadar memberi tumpuan pada aspek kecergasan dengan mengatur siri perlawanan persahabatan semata-mata.
“Mungkin mereka boleh melakukan kursus di luar padang bagi menekankan betapa pentingnya disiplin di atas padang selain cadangan hukuman di peringkat dalaman seperti pemotongan gaji jika pergaduhan seperti itu berulang,” katanya.