PETALING JAYA – CompAsia Malaysia, pusat pengurusan kitaran hayat peranti dan pelupusan aset teknologi maklumat, optimis terhadap inisiatifnya untuk mengelakkan pembuangan dan mengurangkan lambakan peranti terpakai melalui pelancaran kempen terbaharunya.
Pengurus syarikat, Julius Lim berkata, melalui kempen CompAsia Confident, pihaknya mahu menggalakkan orang ramai menggunakan semula barangan elektronik dan gajet asli terpakai dan berkualiti tinggi pada harga mampu milik.
Menurut beliau, inisiatif tersebut akan menjadikan ia sebagai laman sesawang pertama yang menawarkan perkhidmatan secara menyeluruh berkaitan peranti terpakai.
“Kempen ini memberi manfaat terbaik kepada mereka yang mahu berjimat kerana mereka boleh mendapat gajet atau peranti elektronik di platform kami pada harga mampu milik tanpa membeli produk baharu.
“Jika ada gajet atau peranti elektronik yang mengalami kerosakan maka ia boleh dirujuk kepada kami untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan.
Lim menerangkan, semua peranti terpakai yang dijual di e-shop CompAsia telah diperiksa oleh juruteknik profesional kerana pihaknya mahu mengubah persepsi terhadap peranti terpakai kerana semua produknya adalah berkualiti dan asli,” katanya.
Tambah beliau, pelanggan akan menikmati pelbagai kelebihan sekiranya memilih CompAsia untuk mendapatkan peranti asli terpakai.
“Kami menjalankan pemeriksaan kualiti berdasarkan 32 langkah pada setiap telefon untuk memastikan alat ganti adalah 100 peratus asli dan berfungsi sebelum menjualnya kepada pelanggan dan penghantaran percuma ditawarkan di seluruh negara,” jelasnya.
Tambah beliau, CompAsia juga menawarkan jaminan atau waranti sehingga 12 bulan dengan pelbagai pilihan peranti kami. Pelanggan akan menerima pakej lengkap percuma (penyesuai & kabel) dengan setiap pembelian.