MADRID – Pemain tengah Real Madrid, Marco Asensio mendedahkan, masalah kecederaan serta aksi tidak konsisten menyebabkan dua pemain, Gareth Bale dan Eden Hazard jarang diturunkan musim ini.
Katanya, kedua-dua pemain itu sentiasa menampilkan aksi cukup baik dalam sesi latihan tetapi masih belum mampu memikat hati jurulatih, Carlo Ancelotti untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan.
Asensio yang lebih banyak menjadi pilihan utama Ancelotti menjelaskan, Hazard tidak berpeluang untuk menunjukkan kemampuan sebenar dimiliki apabila sering dibelenggu masalah kecederaan.
“Dia (Hazard) sentiasa berlatih dengan baik dan mahu berikan segala-galanya kepada pasukan, namun beberapa masalah termasuk kecederaan meletakkan dia dalam keadaan sukar.
“Bagaimanapun, Hazard masih menjadi pemain penting untuk kami dalam saingan musim ini. Dia seorang pemain yang sangat hebat dan masih mampu untuk berikan sesuatu kepada pasukan,” katanya.
Sementara itu, dia juga percaya Bale masih mampu untuk menjadi pemain kunci buat Real sekiranya pemain Wales itu mampu mengekalkan kecergasannya pada tahap terbaik.
“Dia (Bale) menjalani latihan seperti biasa bersama pasukan, namun perlu cergas sepenuhnya untuk bermain dan menampilkan aksi terbaik. Bale sudah banyak berkorban untuk kelab, jadi saya fikir dia sentiasa bersedia,” ujar Asensio. – AGENSI