PUTRAJAYA – Seramai lima individu hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, bagi memberi keterangan berhubung dakwaan terdapat isu integriti dan salah guna kuasa membabitkan kakitangan Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang memaklumkan kelima-lima individu itu tiba pukul 3 petang di sini.
Difahamkan, kesemua mereka masih berada di dalam bangunan Ibu Pejabat SPRM serta belum meninggalkan tempat tersebut.
Semalam media tempatan melaporkan, lima pegawai kanan yang didakwa terlibat dalam isu integriti dan salah guna kuasa membabitkan Mara dijangka akan dipanggil oleh SPRM hari ini.
Menurut laporan media yang memetik satu sumber memberitahu, kesemua mereka akan dipanggil ke ibu pejabat suruhanjaya berkenaan bagi dirakamkan keterangan hari ini.
Dalam pada itu, Azam turut memaklumkan bahawa kesemua individu tersebut akan dilepaskan selepas keterangan kesemua mereka selesai dirakam.-K! ONLINE