fbpx

Sisi lain Langkawi menakjubkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEINDAHAN laut membiru dapat dinikmati selepas mendaki Gunung Mat Cincang melalui laluan Legenda yang jarang digunakan pendaki.

Oleh HAFIZ ITHNIN

SEBUT sahaja Langkawi, Kedah, pasti ramai membayangkan panorama indah Pantai Cenang, Pulau Dayang Bunting, Gunung Mat Cincang serta Dataran Helang.

Hakikatnya, ramai tidak sedar bahawa pulau legenda itu mempunyai pelbagai tarikan menarik lain untuk diteroka terutamanya buat pencinta aktiviti lasak.

Saya bersama dua orang rakan berkesempatan menjelajah Langkawi selama lima hari empat malam pada akhir tahun lalu.

Kami tiba sekitar 5 petang di pulau tersebut dengan menaiki pesawat dari Kuala Lumpur. Kami memilih untuk menginap di hotel bajet yang mengenakan bayaran sekitar RM60 semalam di pekan Kuah.

Penjelajahan kami di Langkawi bermula keesokan harinya seawal pukul 6 pagi. Kami menuju ke Kampung Batu Gajah bagi memanaskan badan dengan mendaki Bukit Kilim.

Untuk makluman, Bukit Kilim merupakan lokasi baharu yang diteroka oleh penduduk tempatan sebelum dipromosikan kepada para pelawat.

Bukit ini mempunyai tujuh puncak yang boleh didaki. Bagaimanapun, saya dan rakan-rakan berpeluang mendaki Bukit Kilim trail 1.0 berketinggian 114 meter (m), 2.0 (116m) dan 3.0 (117m).

Kami mengambil masa selama hampir sejam sahaja bagi melengkapkan penjelajahan ketiga-tiga puncak.

AKTIVITI berkayak menelusuri Kilim Geoforest Park memberikan pengalaman bermakna bagi penggemarnya.

Perkara menarik di sini, para pelawat berpeluang melihat dan bergambar dengan berlatarbelakangkan keindahan pemandangan kawasan batu kapur, Kilim Geoforest Park.

Pada sebelah petang pula, kami memilih untuk mendaki Gunung Kuang di Kuah. Gunung ini tidak terlalu tinggi iaitu sekitar 420m, namun laluannya agak mencabar.

Kami mengambil masa sekitar 45 minit untuk sampai ke puncak gunung ini. Kami menghabiskan masa lama di puncak bagi melihat keindahan pemandangan matahari terbenam.

Seperkara yang menarik di sini, pelawat boleh menjamu mata dengan pemandangan Laut Andaman yang membiru sambil dikelilingi deretan pulau-pulau kecil.

Pada hari kedua, bermulalah penjelajahan kami yang sebenar iaitu mengayuh basikal sejauh 150 kilometer (km) mengelilingi Langkawi.

Kami mula mengayuh dari pekan Kuah menunju ke Datai sebelum berpatah balik. Kami mengambil masa hampir 10 jam untuk melengkapkan penjelajahan tersebut.

Kami memilih untuk berkayuh secara santai dan berhenti menikmati sajian popular yang dijual di sepanjang laluan.

Pada pendapat saya, berkayuh di Langkawi agak mencabar kerana laluannya agak mendaki, selain cuaca panas.

Kelebihannya, kereta di atas jalan tidak terlalu banyak seperti di ibu kota, sekali gus memudahkan aktiviti kayuhan.

Perkara paling menarik adalah sewaktu melalui kawasan Datai yang menghijau dan nyaman. Di situ, kami berpeluang beristirahat dan menikmati keindahan di Air Terjun Temurun.

Hari berikutnya, kami terpanggil untuk mendaki Gunung Mat Cincang menggunakan laluan Legenda yang jarang digunakan pendaki.

BIARPUN tidak begitu tinggi, Bukit Kilim tetap mencabar adrenalin pendaki.

Kami mula mendaki seawal pukul 8 pagi sebelum sampai ke puncak dua jam kemudian. Trek laluan Legenda ini tidak terlalu mencabar, namun ada beberapa kawasan memerlukan kemahiran teknikal.

Di atas puncak, kami dapat menikmati pemandangan laut membiru selama hampir sejam sebelum turun. Sewaktu turun, kami singgah di kawasan lagun untuk membasahkan badan.

Kemudian, kami berjalan turun sebelum singgah di Air Terjun Telaga Tujuh. Kami sampai ke bawah sekitar pukul 2 petang sebelum bergegas untuk makan tengah hari.

Pada hari terakhir, kami memilih untuk berkayak di Pantai Tanjung Rhu menuju ke papan tanda Kilim Geoforest Park yang berhadapan dengan Selat Melaka.

Kami memilih menggunakan perkhidmatan sewaan khas untuk aktiviti kayak daripada 69degreenorth yang amat profesional dan berpengalaman dalam aktiviti berkayak di pulau itu.

Bermula dari Pantai Tanjung Rhu, kami mula menelusuri Sungai Padang Lalang sekitar 10 minit sahaja dan kemudian cabaran sebenar apabila perlu menelusuri Sungai Air Hangat sejauh 10km.

Dalam perjalanan menyusuri Sungai Air Hangat, kami dibawa ke beberapa lokasi menarik, antaranya surau terapung, merentasi Gua Buaya dan melalui pintu gerbang batuan buatan atau dikenali sebagai fjord.

PANTAI Tanjung Rhu menjanjikan pemandangan menakjubkan, selain suasananya yang menenangkan fikiran sesiapa sahaja.

Menariknya, apabila berkayak, kita dapat merentasi Gua Buaya berbanding pelancong yang menggunakan perkhidmatan bot persiaran yang hanya dapat melihat pintu gua itu sahaja.

Ketika laluan tidak sibuk dengan bot persiaran, aktiviti bergambar di fjord adalah antara pengalaman menarik kerana kami boleh berhenti untuk merakam posisi paling terbaik.

Selepas hampir lima jam berkayak, kami akhirnya kembali ke Tanjung Rhu, sekali gus menandakan berakhirnya pengembaraan kami di Langkawi dengan bajet serendah RM1,500 seorang.

Kepada mereka yang ingin melakukan aktiviti lasak di Langkawi, saya ingin menyarankan supaya mengambil juru pandu tempatan yang berpengalaman bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI