PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan keadaan ribut petir, hujan lebat serta angin kencang bakal berlaku di Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor pagi ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan di Facebook turut mengeluarkan amaran ribut petir bagi lima negeri tersebut dan cuaca buruk itu dijangka reda mulai tengah hari nanti.
“Hujan lebat serta ribut petir sedang berlaku di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang di Selangor.
“Manakala cuaca yang sama turut tertumpu di keseluruhan kawasan Putrajaya dan Melaka.
Selain itu, hujan lebat, ribut petir dan angin kencang dilaporkan melanda kawasan Seremban, Port Dickson serta Rembau, Negeri Sembilan.
Tambah MetMalaysia, bagi negeri Johor, hujan lebat serta ribut petir masih berlaku di daerah Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
Jelasnya, amaran ribut petir ini adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – K! ONLINE