KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini mengesan kewujudan sindiket penggodaman bank akaun melalui aplikasi telefon pintar.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sindiket terbabit menggunakan pautan fail Android Package Kit (APK) bagi memperdayakan mangsa sehingga kehilangan duit daripada akaun bank.
“Sindiket itu akan mempamerkan iklan jual barangan dan perkhidmatan saluran televisyen menerusi laman media sosial Facebook.
“Mangsa berminat akan menghubungi sindiket melalui Whatsapp yang mana mangsa diberikan pautan APK dan diarahkan untuk memuat turun aplikasi tersebut dalam telefon pintar,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.
Jelasnya, aplikasi terbabit akan bertindak menggantikan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) sedia ada sebelum mangsa diarahkan untuk mendaftar butiran peribadi bagi mengakses aplikasi itu.
“Mangsa seterusnya akan mengisi maklumat peribadi termasuk nama, nombor kad pengenalan, e-mel, butiran kad kredit dan perbankan dalam talian.
“Segala maklumat itu akan digunakan sindiket bagi memindahkan duit dari akaun mangsa sehingga menyebabkan kerugian,” ujarnya.
Tambah Kamarudin, setakat ini PDRM menerima lima laporan daripada tiga negeri termasuk tiga kes di Johor, satu di Pulau Pinang dan satu kes di Sabah.
“Jumlah keseluruhan kerugian dicatatkan bernilai hampir RM58,844 setakat ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“PDRM menyeru orang ramai agar berwaspada dan elakkan memasang aplikasi APK di dalam telefon pintar daripada sumber tidak sah,” katanya lagi. – K! ONLINE