fbpx

MCMC saran pengguna aktif 2FA sebagai ciri keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyarankan orang ramai supaya mengaktifkan penyahihan dua-faktor (two-factor authentication – 2FA) sebagai ciri keselamatan.

MCMC menerusi satu kenyataan berkata, saranan tersebut bertujuan membantu melindungi akaun media sosial dan platform pemesejan segera pengguna selain daripada kata laluan mereka.

“Statistik trend aduan awam yang diterima oleh MCMC menunjukkan jumlah aduan berkaitan penggodaman dan kehilangan akses telah meningkat sebanyak 55 peratus, iaitu 1,599 aduan pada tahun 2020 dan 2,483 aduan pada tahun 2021.

“Rata-rata pengadu memohon bantuan dan nasihat bagi mendapatkan kembali akses kepada akaun dan halaman milik atau kendalian mereka,” katanya hari ini.

Menurutnya, risiko keselamatan sebegini menjadikan penggunaan 2FA lebih mendesak, kerana risiko penggodaman atau pengambilalihan akaun bukan sahaja mengakibatkan kecurian identiti malah boleh membawa kepada penipuan melibatkan kerugian ribuan ringgit.

“Lapisan keselamatan pertama secara umumnya adalah gabungan bersama nama pengguna dan kata laluan yang telah digunakan sejak awal lagi.

“Namun, penggunaan kata laluan sebagai satu-satunya langkah keselamatan di alam maya adalah lemah dan terdedah kepada risiko penggodaman atau pengambilalihan akses,” ujarnya.

Tambah MCMC, melalui 2FA, pengguna akan diminta untuk memasukkan kod daftar masuk atau kunci keselamatan khas bagi mengakses akaun.

“Pengguna juga boleh mendapatkan amaran apabila terdapat percubaan daftar masuk daripada pelayar atau peranti mudah alih yang tidak dikenali,” katanya lagi.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak klik pada pautan-pautan mencurigakan yang diterima melalui email serta sentiasa berwaspada dan berhati-hati dengan sebarang panggilan telefon atau mesej daripada individu luar.

“Terutamanya yang meminta berkongsi kod khas seperti kod keselamatan dan perkara tersebut memberi peluang mudah kepada pihak tidak bertanggungjawab bagi mengambil alih akaun media sosial atau aplikasi pemesejan anda,” kongsinya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI