PASUKAN Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menafikan bakal melantik bekas pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe selaku pengarah teknikal baharu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) yang akan membuka tirai bulan depan.
Perkara itu didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Kamal Idris Ali yang mengakui jawatan pengarah teknikal skuad Sang Kenari ketika ini sudah diisi oleh pemain legenda pasukan, Mosthakeen Omar.
Kamal bagaimanapun tidak menolak untuk melakukan kerjasama dengan Cheng Hoe pada masa akan datang tetapi segalanya bergantung dengan penilaian prestasi pasukan pada penghujung musim nanti.
“Buat masa ini, kami tidak menawarkan apa-apa pun buat Cheng Hoe kerana semua posisi di KDA FC sudah diisi sepenuhnya termasuk pengarah teknikal yang kini dijawat oleh Mosthakeen Omar yang turut memiliki lesen Pro AFC.
“Namun, saya tidak menolak mengenai potensi untuk KDA FC kembali menjalinkan kerjasama dengan Cheng Hoe pada masa depan tetapi segalanya bergantung dengan prestasi pasukan nanti.
“Secara jujur, saya cukup mengenali Cheng Hoe dan kami bersahabat baik sejak remaja dan saya percaya buat masa ini keutamaannya adalah untuk berehat bersama keluarga tercinta,” katanya ketika ditemui media semalam.
Cheng Hoe sebelum pernah membimbing skuad Kedah pada 2014 hingga 2017 dan membantu pasukan itu menjuarai trofi Liga Premier, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.
Pengendali berusia 54 tahun itu dianggap sebagai salah seorang jurulatih berpengaruh di Malaysia selepas menjadi pengendali Harimau Malaya sejak 2018 sebelum meletakkan jawatan bulan ini selepas prestasi hambar pasukan pada kempen Piala AFF Suzuki 2020 yang lepas.